FEBRUARI 2024

Sarawak Bakal Miliki Saham Lebih Besar Dalam Bank Komersial


KUCHING: Berdasarkan suasana yang sangat kondusif sekarang, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin urusan perniagaan di Sarawak akan terus maju dan berada di landasan baik.

Ini penting untuk mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak pada tahun ini berhasrat mencapai tiga matlamat dalam menjayakan persekitaran secara menyeluruh untuk memakmur dan memajukan negeri ini.

Pertama, mengambilalih Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan, kedua berhasrat memiliki syarikat penerbangan sendiri dan ketiga memiliki saham terbesar dalam sebuah bank komersial, katanya dalam perutusan sambutan Tahun Baharu Cina 2024 di sini.

Beliau berkata, pengambilalihan Pelabuhan Bintulu bukan setakat di bawah bidang kuasa Sarawak mengikut perlembagaan tetapi juga akan membolehkan Sarawak merancang pembangunan secara komprehensif

Menurut Premier Sarawak, pembangunan komprehensif dalam sektor pelabuhan itu merangkumi keseluruhan negeri ini termasuk sumber kekayaan yang dimiliki.

Ini seperti mengambilalih Hidro Bakun daripada Kerajaan Persekutuan untuk membolehkan Sarawak mengawal selia bekalan tenaga bagi menentukan tariff elektrik untuk menarik pelaburan dalan industri menggunakan banyak tenaga terutama di Zon Perndustrian Samalaju, Bintulu, katanya.

Abang Johari berkata, hasrat memiliki syarikat penerbangan sendiri akan membolehkan Sarawak membawa masuk lebih ramai pelancong untuk meningkatkan perniagaan dan pelaburan di negeri ini.

Dalam pada itu, katanya, dengan memiliki saham lebih besar dalam sebuah bank komersial akan membolehkan Sarawak menyediakan platform kewangan untuk meningkatkan lagi ekonomi melalui pembangunan SME dan keusahawanan.

“Sarawak sudah memiliki beberapa saham dalam bank terbabit dan kita mahu meningkatkannya. Kita yakin berjaya menyelesaikan rundingan itu dalam masa terdekat supaya dapat turut serta secara aktif dalam menguruskan bank berkenaan dan melindungi kepentingan Sarawak,” katanya.

Ini adalah tiga platform strategik yang harus Sarawak miliki untuk mewujud ekosistem meningkatkan ekonomi negeri ini ke tahap seterusnya, tegas beliau.

“Kekuatan Sarawak terletak pada kekayaan sumber semula jadi termasuk air dan cahaya matahari dan untuk masa depan, kita mahu menukar cara menghasilkan tenaga hidro dengan menggunakan pengaliran air daripada membina empangan besar yang menenggelamkan kawasan lebih besar.

“Ini adalah sumber diperbaharui yang harus kita terokai sejajar dengan matlamat ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk membangunkan ekonomi dan memberi manfaat kepada rakyat,” tambah beliau.

Laporan Suruhanjaya khas PBB berkenaan SDG pada 2008 itu, katanya, dijadikan asas halatuju Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030 Sarawak menjelang 2030.

PCDS 2030 itu sejajar dengan SDG yang mengutamakan kemakmuran ekonomi memberi manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama di samping memberi penekanan kepada kelestarian alam sekitar.

Persekitaran pembangunan ekonomi Sarawak sejak beberapa tahun lalu sangat baik apabila perniagaan, golongan korporat, bank dan delegasi asing terus berkunjung ke Sarawak untuk menyatakan minat bekerjasama dengan Sarawak, katanya.